Yang ni cerita dongeng. Baca boleh, gelak pun boleh. Tapi jangan ditiru aksi dan jangan percaya cerita ni ya.
Al kisahnya, ada seorang suami yang tidak tahan dengan leteran isterinya. Ada saja yang tidak kena. Sambil mengemas rumah, isterinya berleter. Sambil masak, isterinya berleter. Kadang-kadang si suami macam terdengar isterinya berleter semasa sedang tidur bersama.
Suatu hari, si suami pergi berjumpa dengan seorang dukun yang cukup hebat. Sampai aje, si dukun dah tahu apa dihajatinya. Si suami kagum. Setelah memperincikan tindakan yang harus dilakukan, si suami dengan tenang melangkah pulang.
Tibanya waktu yang dijanjikan, si suami pengsankan isterinya dengan asap keminyan yang dibekal, diangkat dan digulung dalam tikar mengkuang, lalu dibawa ke sebuah perigi buta di dalam hutan dan dicampakkan isterinya.
Baliklah si suami dan lenalah tidurnya untuk malam itu, malam berikutnya dan malam seterusnya. Bila difikirkan kembali, dia menyesal. Tiga hari tanpa mendengar leteran isterinya membuatkan si suami tidak keruan. Lalu melangkahlah si suami ke perigi buta untuk mengambil isterinya. Dibawa tali dan papan agar mudah menarik isterinya naik.
Setelah diikat papan seakan jadi buaian di hujung tali, lalu dicampak ke dalam perigi buta seraya memanggil-manggil nama isterinya. Apabila si suami dapat merasakan tali mula memberat, lalu ditarik perlahan-lahan. Yang duduk di papan bukanlah isterinya, tetapi pontianak. Terperanjat si suami. Pontianak tersebut merenung mata si suami dan berkata,:
"kau ambiklah semula isteri kamu ni. Tak tahan telinga aku mendengar dia membebel. Ni baru tiga hari."
No comments:
Post a Comment