Sunday, 17 June 2012

KemeleSetan ekonomi

Pak Kasim menjual pisang goreng sepanjang hidupnya. Beliau telah melalui beberapa kemeleSetan ekonomi, inflasi dan deflasi. Beliau menyara kehidupan anak-anak sehingga berjaya hanya dengan menjual pisang goreng. Segala cakap-cakap pasal kegawatan ekonomi tidak pernah dihiraukan Pak Kasim. Beliau tetap menjual setiap hari dari tengahari hingga jam 6.30 petang. Beliau hanya bercuti pada hari Ahad dan sepanjang bulan Ramadhan.


Berkat usahanya, salah seorang anak lelaki beliau berjaya hingga ke Universiti Oxford dan menjadi Profesor ekonomi. Profesor Ahmad selalu dijemput memberi ceramah mengenai ekonomi di luar negara kerana di sanalah beliau mencari rezeki.


Apabila Eropah mula mengalami kegawatan ekonomi, Ahmad menalipon Pak Kasim dan memberitahu dengan penuh keyakinan bahawa tidak lama lagi, Malaysia pun akan diserang kegawatan ekonomi. Pak Kasim dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah patut untuk menyerap kesan kegawatan ekonomi yang pasti akan melanda negara. Beberapa cadangan diutarakan Ahmad, dan Pak Kasim mula mempercayai kata-kata anaknya, yang merupakan profesor ekonomi yang disegani di eropah.


Maka, Pak Kasim pun memulakan langkah-langkah penyelarasan yang dicadangkan. Langkah pertama yang diambil, adalah dengan mengurangkan saiz pisang yang digoreng. Langkah ini lama kelaman mula disedari pelanggan tetap Pak Kasim. Ramai pelanggan mula merungut. Seperti kata Ahmad, rasa tidak puas hati pelanggan adalah sesuatu yang biasa bila langkah-langkah pelarasan mula diambil.


Langkah kedua yang dibuat adalah dengan mengurangkan kuantiti jualan kerana bila kegawatan ekonomi menyerang, orang ramai akan mula berjimat dan kurang makan di luar. Pak Kasim dapat melihat logiknya penjelasan Ahmad. Maka, jualan pisang goreng Pak Kasim habis lebih awal. Ramai pelanggan yang datang lewat, tidak dapat menikmati jualan Pak Kasim. Seperti yang dijangka, makin ramai pelanggan yang merungut kerana Pak Kasim tutup awal. Kalau dulu tutup 6.30, sekarang ni tutup jam 5.30. Kesan paling ketara ialah, lama kelamaan pelanggan makin kurang.

Pak Kasim mula berfikir untuk bersara. Setelah dikira untung rugi yang akan ditanggung jika negara dilanda kemeleSetan ekonomi, maka Pak Kasim mengambil keputusan untuk menutup perniagaannya. Tanpa Pak Kasim sedari, sebelum anaknya menjadi Profesor ekonomi, Pak Kasim telah melalui beberapa kemeleSetan ekonomi tetapi tidak memberi kesan kepada dirinya. Tetapi setelah dia yakin dan percaya dengan apa yang disampaikan oleh anaknya, profesor ekonomi, perniagaan Pak Kasim terjejas.



Pak Kasim sekarang ini memukul canang mengenai kegawatan ekonomi yang menjadi punca dia terpaksa tutup perniagaan. Dan Pak Kasim teramat yakin yang kegawatan ekonomi telah melanda negara.

No comments:

Post a Comment