Monday, 25 June 2012

Pak Harun dan ayam.

Satu pagi, Mak Minah berkata pada Pak Harun,


'Bapak ngkau, saya teringin nak makan ayam kampung. Boleh belikan kat pasar?', kata Mak Minah dengan lembut sambil jari jemarinya mengusap rambut Pak Harun. Pak Harun yang dah terbiasa dengan pujuk rayu Mak Minah, menggangguk sambil tersenyum. Dengan bingkasnya, Pak Harun bangun, dicapainya kemeja lalu disarungnya. Diambilnya tas duit, dimasukkan dalam talipinggang dan dipakainya. Diketatkan talipinggang tersebut dan Pak Harun bergerak menuju ke tangga rumah.


'Mak ngkau, saya pergi dulu', kata Pak Harun sambil memandang Mak Minah.


Dengan tangkas, Pak Harun menuruni tangga rumah dan bergerak ke bawah rumah dan dicapainya basikal tua yang menjadi tunggangan Pak Harun sejak muda lagi. Berkayuhlah Pak Harun menuju ke pasar yang jaraknya lebih kurang 5 kilometer.


Sesampai di pasar, Pak Harun terus menuju ke gerai rakan karibnya yang menjual ayam kampung hidup. Setelah ditimbang dan dibayar duitnya, Pak Harun pun berkeghah nak balik rumah. Keluar aja Pak Harun dari bangunan pasar, ada rakan bertanya, 'beli apa tu Pak Harun?'


'Ayam.' Ringkas jawab Pak Harun.


'Apalak ayam... Tu kan itik yang Pak Harun beli tu.' usik Husin, pemuda kampung yang sumbing mulutnya.


'Kamu ni Husin, inikan ayam. Takkan kamu tak kenal ayam dan itik.' tegas Pak Harun sambil memasukkan ayam tersebut ke dalam bakul basikal.


Keluar aje dari kawasan pasar, ada lagi rakan bertanya apa yang Pak Harun beli. Pak Harun memberitahu dia membeli ayam. 


'Itu kan itik. Pak Harun ni... ayam dan itik tak dapat dibezakan.' usik si Hashim pula.


'La... tadi si Husin kata aku beli itik. Ni kamu pulak kata aku beli itik. Kan ke ayam ni,' kata Pak Harun sambil menunjukkan paruh ayam jantan yang terkeluar dari sarung di bakul basikal.


Pak Harun kehairanan kenapa Husin dan Hashim tak tahu bezakan ayam dan itik. Sepanjang perjalanan balik ke rumah, Pak Harun berdepan lagi lapan rakan yang mengatakan Pak Harun membeli itik, dan bukannnya ayam. Pak Harun kehairanan kenapa sepuluh orang rakannya tak tahu bezakan ayam dan itik. Sedikit sebanyak, terdetik keraguan di hati Pak Harun. Sesekali dilihatnya haiwan di dalam sarung kerana hendak pastikan dia membeli ayam dan bukannya itik seperti yang dikatakan sepuluh rakannya tadi.


Sampai aje di rumah, Mak Minah bertanya Pak Harun,


'Dapat ke tidak ayam jantannya?'


'Entahlah Minah, kamu tengoklah sendiri. Aku pun tak pasti apa yang aku beli.'

----------------

Begitu jugalah dengan kehidupan seharian kita. Jika kita mendengar penafian kebenaran berulangkali, kita pun mula merasa ragu tentang kepercayaan kita. Begitu juga jika pembohongan diucapkan berulangkali, masyarakat akan mula percaya itu yang sebenarnya.


No comments:

Post a Comment