Sunday 3 June 2012

Hamid, Aminah dan Tok Guru

Al kisah.....


Di sebuah daerah nun jauh dari kesibukan kota, hiduplah Hamid, seorang pemuda yang berhati waja. Hamid selalu mengikuti kuliah agama Tok Guru. Boleh dikatakan setiap kali Tok Guru mengajar, Hamid akan hadir. Hampir di setiap surau dan masjid, Hamid akan cuba menghadirkan diri mendengar kuliah Tok Guru. Begitu juga Aminah, seorang gadis pemalu dan penyantun. Aminah juga akan cuba menghadirkan diri sekerap mungkin. Boleh dikatakan Hamid dan Aminah merupakan anak murid yang taat.


Setelah sekian lamanya, Hamid mula menaruh hati kepada Aminah tetapi tidak tahu bagaimana hendak diluahkan hasrat hati. Hamid pergi berjumpa Tok Guru untuk meminta pandangan dan pertolongan. Tanpa Hamid sedari, Tok Guru sebenarnya amat meminati Aminah. Maklumlah Aminah tu gadis manis, perwatakan baik, penuh sopan dan santun. Tok Guru agak terkejut juga bila diminta bantuan Hamid. Setelah berfikir panjang, Tok Guru seakan mengalah dengan hajat Hamid.


'Baik. Tok akan cuba jalankan hajat kamu tu Hamid.'


'Alhamdulillah', jawab Hamid sambil menyapu muka dengan kedua tapak tangannya.


'Tapi, ada syaratnya. Kalau kamu setuju, baru Tok akan bertanya Aminah.'


'Apa syaratnya Tok?', tanya Hamid penuh minat.


'Setelah kamu bernikah dengan Aminah nanti, janganlah kamu kencing mengadap kiblat. Kalau kamu langgar syarat tersebut, maka hendaklah kamu ceraikan Aminah. Setuju?', tanya Tok Guru sambil tersenyum..


Tanpa berfikir panjang, Hamid setuju dengan syarat Tok Guru. 


Dipendekan cerita, bernikahlah Hamid dengan Aminah dan bermulalah kehidupan mereka berdua sebagai suami isteri. Hamid rasa amat bahagia beristerikan Aminah.


Hamid perasan yang Tok Guru makin kerap mengekori kemana sahaja dia pergi. Ke pasar, Tok Guru ada. Ke jemputan kahwin, Tok Guru ada. Hatta, ke mana sahaja Hamid pergi, Tok Guru akan ada berhampiran.


Satu hari, Hamid masuk ke hutan untuk mencari tongkat ali. Setelah sekian lamanya, Hamid terasa hendak buang air kecil. Lalu dia pergi belakang sepohon pokok dan melepaskan hajatnya. Dengan tiba-tiba, Tok Guru menyergah Hamid.


'Hamid!!!, kamu kencing mengadap kiblat dan kamu mesti lepaskan Aminah, isteri kamu.'


Sergahan Tok Guru menyebabkan Hamid terperanjat dan terkedu. Dengan longlai, Hamid melangkah menuju ke rumah. Aminah menerima talak dengan penuh sabar walaupun dia tidak setuju.


Cukup edah, Tok Guru bernikah dengan Aminah pula. Berita tersebut mengejutkan Hamid. Beliau merasakn dia ditipu Tok Guru yang selama ini disanjung. Dengan penuh marah, Hamid pergi mengadap Tok Guru dan meminta Tok Guru berjanji satu perkara...


'Apa yang kamu hendak dari Tok?'

'Kalau lepas ni Tok Guru kencing mengadap kiblat, Tok mesti ceraikan Aminah.'.



'Setuju', ringkas sahaja jawapan Tok Guru.


Bermulalah episod di mana ada Tok Guru, di situ jugalah adanya Hamid. Tok Guru tahu yang dia diperhatikan Hamid dan Tok Guru amat berhati-hati kerana helahnya, Hamid terpaksa berpisah dengan Aminah.


Dalam perjalanan ke sebuah surau, Tok Guru terasa hendak buang air kecil. Kerana tidak dapat menahannya, Tok Guru melepaskan hajat di dalam semak. Dengan tiba-tiba, Hamid menegur Tok Guru..


'Tok, Tok kencing mengadap kiblat. Tok mesli ceraikan Aminah.'


Setelah membersihkan diri, Tok Guru berdiri dan memandang wajah Hamid dengan penuh kesian..


'Hamid, benar Tok kencing mengadap kiblat, tapi kepala anu Tok tala ke tepi.'

1 comment:

  1. ha.. ha.. ha... hamid bendul sangat... lain kali cari banyak sikit tok guru yang dari lain tok-tok guru atau lain lain pondok, bukan sorang jer atau dari satu pondok jer.. banyak sikit pilihan bila nak kawin ngan aminah..... kantoi-kantoi....

    ReplyDelete